PUTRAJAYA, 20 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam bidang advokasi dan polisi undang-undang serta undang-udang ekonomi di bawah Akta 2010 [Akta 712].
Persefahaman itu menggalakkan pelaksanaan undang-undang persaingan yang lebih berkesan di Malaysia terutamanya aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan mengenai undang-undang persaingan.
Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata kerjasama strategik itu melibatkan aktiviti yang bukan sahaja melengkapkan pensyarah malah memberikan pendedahan kepada pelajar UPM untuk terlibat secara terus dengan MyCC terutamanya melalui peluang latihan industri.
“UPM dan MyCC bersetuju untuk memberikan akses kepada pusat sumber kedua-dua pihak bagi tujuan penyelidikan dan akademik
“Kerjasama ini juga akan memberikan khidmat rundingan dan penyelidikan yang berkaitan dengan undang-undang persaingan terutamanya melibatkan Akta 2010 (Akta 712)” katanya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dengan MyCC di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata MyCC berupaya menyediakan platform kepada universiti manakala UPM pula mempunyai kepakaran membantu agensi memantapkan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 bagi memastikan pembangunan ekonomi negara mampan dan melindungi kepentingan pengguna.
MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, CEO MyCC Iskandar Ismail dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Profesor Dr Azali Mohamed.
MoU dengan MyCC diterajui oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UPM ke arah menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di peringkat industri dalam serta luar negara.
Kerjasama dengan MyCC dalam membangunkan kualiti terbaik graduan dan ahli akademik UPM dapat menyokong penyelidikan dan inovasi UPM.
Capaian berita lain :https://www.utusan.com.my/berita/nasional/ssm-prestomall-jalin-kerjasama-perkasa-platform-e-dagang-1.957155?fbclid=IwAR0hP-U4Wx4r8FoAlsH3QmPgwdXdIQPl7K6rqWhJG8BYKCgGnQ5cK3ihA4s
Tarikh Input: 21/08/2019 | Kemaskini: 15/03/2022 | syazmer
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR, MALAYSIA
Pertanyaan am: 03 9769 7777
Pengajian Siswazah: 03 9769 7609
Pengajian Pra siswazah: 03 9769 6954