| SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM

Sedeqah Penghapus Dosa

Ringkasan Artikel

Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal merupakan kewajipan setiap mukmin. Oleh itu, Islam amat menuntut umatnya berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki, dengan penuh kesabaran dan tidak mudah berputus asa, di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah, kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia pasti tidak akan pernah mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

Jabir R.A menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang masudnya: " Solat adalah pendamping diri dengan rahmat Allah dan keredhaan-Nya. Puasa pula adalah perisai penghalang daripada sifat kejahatan, manakala sedekah pula adalah pemadam dosa, laksana air yang memadamkan api". Riwayat Ahmad dan al Tirmizi.

HURAIAN


Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal merupakan kewajipan setiap mukmin. Oleh itu, Islam amat menuntut umatnya berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki, dengan penuh kesabaran dan tidak mudah berputus asa, di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah, kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia pasti tidak akan pernah mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

Sesungguhnya kesenangan atau kekayaan, kemiskinan atau kesempitan hidup merupakan sebahagian daripada ujian Allah S.W.T. terhadap para hamba-Nya. Namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan. Dari sudut yang lain pula, hartawan yang dermawan adalah jauh lebih baik daripada mereka yang lalai dan leka, sama ada miskin atau pun kaya.

Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di Akhirat.Pernahkah kita merasa, kadang-kala begitu sukar untuk memperolehi wang dan apabila memperolehi wang, seringkali ia tidak mencukupi. Lebih teruk lagi, setiap bulan, pasti akan ada sahaja hal-hal di luar jangkaan. Kemalangan, anak sakit, kawan pinjam duit, kereta rosak, isteri merajuk ajak pergi bercuti, bil air dan elektrik tiba-tiba melambung tinggi, kedai depan rumah buat jualan murah, kena tipu dengan skim pelaburan cepat kaya dan bermacam-macam lagi. Setiap bulan, ada sahaja perkara yang meragut keluar duit anda dari poket.. .. agak sukar untuk membuat sebarang simpanan. Lebih malang... kadang-kala terpaksa berhutang pula dengan rakan-rakan. Nak kata gaji kecil? Tidak juga! Nak kata suka enjoy? Tidak juga! Nak kata tidak tahu urus duit? Tidak juga!
Mungkinkah kita pernah mendapatkan rezeki dengan cara yang tidak halal?
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya ruh al-Qudus (Jibril) pernah memberitahuku bahawa sesiapa pun pasti tidak akan mati selagi belum disempurnakan rezekinya. Maka berwaspadalah terhadap kemurkaan Allah dan berusahalah dengan baik. Janganlah pula lantaran kerana lambatnya sesuatu rezeki untuk kamu, menjadi alasan untuk kamu mendapatkannya dengan jalan yang salah, kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan jalan ketaatan." Riwayat Ibnu Majah dan al Tabrani.

Membelanjakan harta ke jalan Allah dapat menjanjikan keberkatan, sebaliknya menahan harta dari jalan Allah pula akan menjanjikan kecelakaan. Amalan bersedekah walaupun kecil adalah amat tinggi nilainya di sisi Allah. Dalam hadith yang lain, Nabi S.A.W. bersabda "Takutilah neraka! Walaupun yang sebesar setengah biji kurma. Bersedekahlah! Kerana ianya penghapus dosa sebagaimana air yang memadamkan api".


(SUMBER : BAHR AL-MAZI)

Diambil daripada :

MOHAMAD ZAID ANUAR
Penolong Pegawai Tadbir
Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

SXETUAw~